ASSALAMUALAIKUM

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan." (al-Ahzab ayat 70-71).

Wednesday, January 12, 2011

CABARAN DAKWAH MASA KINI



Menyoroti sejarah mengenai bagaimana dakwah Islam mampu tersebar dan disampaikan kepada umat manusia di zaman Nabi Musa a.s., kita akan dapati bahawa baginda menggunakan cara dan pendekatan dakwah yang bersesuaian dengan cabaran dan situasi semasa pada ketika itu. Pada zaman Nabi Musa a.s, baginda dianugerahkan oleh Allah SWT dengan mukjizat ‘tongkat sakti’ bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh baginda pada zaman tersebut. Ini disebabkan kepakaran di bidang sihir merupakan di antara ciri-ciri kekuatan yang menjadi pelindung kepada kezaliman yang dilakukan oleh penguasa Mesir atau Fir’aun  pada masa tersebut.
Pada masa kini, dakwah Islamiah sedang memasuki era baru peralihan zaman. Umat Islam sedang berada di dalam era yang dikenali sebagai ‘masyarakat terbuka’. Arus globalisasi dan revolusi dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat menjadikan masyarakat terbuka sebagai satu realiti.
Selaku umat Islam yang berpandangan positif, era peralihan zaman ini harus dijadikan peluang untuk kita meningkatkan usaha penyampaian ajaran agama Islam kepada seluruh masyarakat. Kita perlu meningkatkan seluruh saluran dan ruang penghebahan untuk memastikan ajaran agama Islam tersebar seterusnya membangunkan masyarakat berasaskan panduan dan pedoman cahaya al-Quran dan al-Hikmah.

Kita pernah dikejutkan dengan penemuan surah-surah palsu yang dimasukkan dalam internet. Memang golongan orientalis tidak pernah berdiam diri dalam usaha mereka  untuk menghancurkan Islam. Kita juga pernah mendapat berita tentang penambahan rukun iman kepada tujuh perkara (iaitu beriman kepada jin) dalam sekeping CD al Quran yang dijual di pasaran. Apa yang lebih menyedihkan, sekeping  video Cina dalam bentuk CD ditulis atasnya perkataan MUHAMMAD RASULULLAH.
Cabaran yang ditempuhi agak hebat juga. Di dalam internet, terdapat banyak lawan web yang menampilkan gambar-gambar porno yang tak sepatutnya disebarkan. Begitulah, lumrah kehidupan masyarakat barat yang sudah terlalu rosak. Hal-hal yang memalukan tidak lagi menjadi perkara yang dapat disembunyikan. Sedangkan Islam yang indah  mengajar kita supaya bersifat malu dan berakhlak mulia.
Adakalanya  kita merasa kagum dengan kepakaran manusia yang memprogramkan sesuatu di dalam komputer. Muncul pelbagai perisian yang memudahkan urusan hidup. Wujudnya dunia multimedia yang hebat. Hanya melalui sekeping CD, bermacam maklumat dapat diambil darinya. Sekiranya dirujuk kepada buku mungkin memerlukan berpuluh  buah buku untuk menyimpan maklumat ilmu  yang begitu banyak.

Melihat kepada realiti era globalisasi pada masa kini, ruang dakwah serta penyebaran maklumat Islam dengan lebih pantas dan berkesan kini terbuka lebih luas melalui penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Namun begitu, di dalam membicarakan tentang kecanggihan dan kepesatan teknologi, khususnya ICT, kita masih tidak dapat menjamin bahawa sesuatu dakwah Islam boleh difahami oleh manusia. Ini kerana kefahaman seseorang individu terhadap sesuatu Islam itu bukan hanya terletak pada kehebatan teknologi tetapi terletak pada mutu kandungan serta cara atau kaedah penyampaian yang menarik dan berkesan sehingga membolehkan ilmu tersebut masuk ke dalam jiwa manusia.

Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan penguasaan di dalam bidang teknologi dakwah. Ini bagi membolehkan citra dakwah terjelma secara meluas di dalam pelbagai wajah baru yang dinamik. Penguasaan teknologi dakwah meliputi keperluan untuk usaha penyebaran Islam terhebah menerusi saluran komunikasi baru seperti informasi maya, seni elektronik dan imej bergerak.

Pendakwah masa kini tidak mempunyai ilmu yang mantap dalam bidang ICT yang di perlukan masa kini. Perkembangan teknologi di seluruh dunia perlu diambil kira dalam menyampaikan dakwah islam secara lebih meluas. Namun, kepakaran dalam bidang ini belum dikuasai sepenuhnya oleh para pendakwah Islam.

Hakikatnya, masyarakat kita pada masa kini amat mudah terpengaruh dengan apa jua yang ditayangkan di media massa melalui teknologi maklumat dan komunikasi ICT pada masa sekarang. Justeru, sebagai seorang pendakwah yang prihatin, ia membuka peluang kepada para pendakwah teknologi menggunakan kepakaran di dalam bidang masing-masing, bagi memainkan peranan memikul tanggungjawab dakwah. Ruang dan kepakaran itu haruslah dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat agar terpaut dengan ajaran Islam yang sarat dengan nilai murni yang universal.





2 comments: