ASSALAMUALAIKUM

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan." (al-Ahzab ayat 70-71).

Friday, January 14, 2011

MATLAMAT HIDUP


Al-Quran al-Karim ialah sebuah kitab yang lengkap. Di dalamnya, Allah kumpulkan segala asas akidah, keperluan asas manusia dan intipati undang-undang dunia. Di dalamnya termaktub segala perintah dan larangan-Nya.

Matlamat Hidup dalam Islam

Al-Quran telah menetapkan matlamat dan sasaran hidup manusia melalui beberapa firman-Nya. Antaranya:
 Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya, tiada Tuhan selain Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia" (Al-Mukminun: 115-116)


Firman Allah yang berikutnya:
"Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Adz-Dzaariyaat: 56)

Selain itu, Allah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini sebagaimana firman-Nya:
 "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.'" (Al-Baqarah: 30)


Dalam ayat ini, dengan jelas Allah telah memberikan manusia kedudukan yang tinggi dengan memilih manusia sebagai khalifah, jawatan yang tidak diterima oleh mana-mana makhluk di atas muka bumi ini sendiri. Namun jawatan penting ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul bukan sebagai pangkat atau kedudukan yang perlu dibangga-banggakan.

Oleh hal sedemikian, dalam menjalankan amanah ini, peranan manusia perlu selari dengan arahan Allah seperti firmanNya:
 "Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (dalam berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Aali- Imran: 104)

Persoalan matlamat hidup manusia dalam Islam juga ada diceritakan dalam suatu kisah yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal RA. Katanya, pernah aku mengekori Nabi SAW dalam satu perjalanan di mana aku berada di belakang baginda. Baginda memanggil, "Wahai Muaz bin Jabal!". Aku terus menyahut, "Telahku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah". Kami meneruskan lagi perjalanan. Kemudian baginda memanggil lagi, "Wahai Muaz bin Jabal!" dan aku menyahut, "Telahku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah". Kami meneruskan lagi perjalanan kemudian baginda memanggil lagi, "Wahai Muaz bin Jabal!" dan aku menyahut lagi, "Telahku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah.
Baginda bersabda, "Tahukah kamu kewajipan manusia terhadap Allah?
Aku menjawab, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih mengetahui."
Baginda bersabda, "Kewajipan manusia terhadap Allah ialah dengan mengabdikan diri kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya".


Kami meneruskan lagi perjalanan beberapa ketika kemudian baginda memanggil lagi, "Wahai Muaz bin Jabal!" dan aku menyahut, "Telahku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah".
Rasulullah SAW bersabda, "Tahukah engkau apakah kewajipan Allah terhadap manusia apabila mereka melakukan perkara-perkara yang aku nyatakan di atas?"
Aku menjawab, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih mengetahui".
Akhirnya baginda bersabda, "Allah tidak akan menyeksa mereka".

Namun, Allah juga ada menjelaskan bahawa ada manusia yang tumpuan hidup mereka hanyalah makan dan berseronok sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
  "Dan  (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka." (Muhammad: 12)

Sekumpulan manusia yang matlamat mereka hanyalah hiasan dan kesenangan hidup juga ada dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah:

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)." (Ali-Imran: 14)

Selain itu, al-Quran menjelaskan tentang sekumpulan manusia yang menjadikan hidup mereka hanya untuk mewujudkan huru-hara, mencetus suasana yang tidak selamat dan tidak aman. Mereka ini disebut oleh Allah dalam firman-Nya:

"Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia ialah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan." (Al-Baqarah: 204-205)

Inilah antara matlamat manusia dalam hidup ini. Semoga Allah menjauhkan kita daripada matlamat seperti ini. Sememangnya Allah telah menyerahkan di bahu orang-orang beriman tanggungjawab yang jauh lebih mulia iaitu memimpin manusia ke arah jalan yang benar, membimbing manusia ke arah jalan kebaikan dan memancarkan nur Islam ke seluruh dunia. Ini dinyatakan oleh firman

"Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "orang-orang Islam" sejak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia-lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia-lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (Al-Hajj: 77-78)

Ini bermakna Allah melalui kitab-Nya al-Quran telah meletakkan umat Islam sebagai pembimbing umat manusia seluruhnya. Al-Quran telah menyerahkan hak menguasai dunia ini kepada mereka untuk menunaikan tanggungjawab berdakwah yang suci ini. Oleh itu, ini adalah hak kita, bukan hak kaum kuffar.



No comments:

Post a Comment